Wednesday, January 20, 2010

BAU HARUM YANG MERESAP DALAM KOMUNIKASI (2)

Ingin saya berkongsi sesuatu yang positif malam ini. Semalam, saya telah mendapat tahu dari Aqilah, anak saudara saya, bahawa semalam juga, anak lelaki saya, Muhd Ikhwan 17 tahun telah ke Cyber Cafe bersama anak saudara saya Adib. Patutlah, bila saya sampai di rumah lebih kurang 6 petang, Adib tiada di rumah. Adiknya Aqilah telah menunggu beberapa jam untuk memberitahu saya tentang perkara ini, atas dasar 'tak mau Mak Uda stress'. Saya katakan kepadanya, bahawa saya dalam keadaan 'ok' dan bersedia mendengar sebarang berita baik atau buruk berkenaan apa saja.

Muhd Ikhwan yang sepatutnya berada di sekolah atas sebab ada 'group discussion' rupanya telah habis sesi hingga pukul 4 sahaja, dan tidak pulang ke rumah sehinggalah lewat petang. Adib pulang berasingan pula yang juga lewat iaitu malam. Oleh kerana beliau telah memesan kepada Aqilah untuk memberitahu Mak Uda yang beliau akan pulang lewat kerana pergi ke CC, maka saya tidaklah terlalu risau. Kepulangan Muhd Ikhwan yang juga lewat (hampir 7 mlm) tidak menambahkan kerisauan keterlaluan kepada saya, kerana pada awalnya saya menyangka beliau benar-benar di sekolah.

Namun setelah Aqilah memberitahu cerita sebenarnya, iaitu, mereka berdua sebenarnya pergi ke CC, perasaan saya bercampur aduk, marahpun ada legapun ada. marah kerana Muhd Ikhwan tidak berterus terang. lega kerana Adib jujur, tidak menipu seperti yang didakwa oleh orang yang mengenailinya, sebagai 'suka menipu'.

Ketika Muhd Ikhwan pulang dari sekolah hari ini, pada pukul 5.30 petang, saya bertanyakan ke mana dia pergi sebenarnya lewat petang semalam, sengaja saya katakan, 'pergi CC tak beritahu ma ya?...dengan nada biasa, bukan nada perli atau marah'...beliau menjawab 'taklah'...

Apa yang tidak saya sangkakan, Adib berkata kepada Ikhwan..'ikhwan, eloklah berterus terang....Adib dah ubah perangai, kita terus terang lagi baik dari tipu, kena marah lagi teruk'....sebenarnya saya suka apa yang saya dengar. Teguran ala coaching tempohari, terbukti berkesan, yang mana, Adib selesa dengan pengakuannya, dan mencadangkan anak saya juga berbuat demikian. Sengaja saya tidak tanya Adib kerana saya mahukan pengakuan jujur dari mulut anak saya sendiri.

begitulah, dalam komunikasi, sekiranya perasaan sendiri diketepi sementara waktu, bagi mencapai sesuatu yang lebih positif, bagi saya, sekiranya perlu dilakukan, lakukan segera. saya yakin, Adib akan bertukar menjadi seorang yang hebat, dan akan berguna kepada agama dan negara InsyaAllah.

Bermula dengan seorang, dan pasti ia akan merebak, dan sekiranya ianya positif, ramai yang akan merasai kebaikannya. bak bau yang harum itu, pasti dihidu oleh orang lain dan mendatangkan suasana harmoni dan nyaman. bagaimana pula dengan anak saya? saya perlu lebih masa untuk sesi coaching dengan beliau, memandangkan rebung ini belum keras.

No comments:

Post a Comment