Sunday, January 17, 2010

BAU HARUM YANG MERESAP DALAM KOMUNIKASI

Beginilah, sekira tidak boleh tidur, saya akan sign in blogspot saya lantas mula menaip....

ingin saya berkongsi sesuatu malam ini dengan sidang pembaca. kisah ini adalah berkisar mengenai bagaimana saya menggunakan pendekatan coaching untuk menegur anak saudara yang sekarang tinggal dengan saya, Mohd Adib namanya.

beliau merupakan anak sulung kakak saya, di Penang. memanglah, beliau anak yang sukar, sepertimana yang selalu diungkapkan oleh kakak saya. tapi bagi saya, individu yang sukar adalah subjek yang bagus untuk sesi coaching, walaupun singkat.

masalahnya timbul apabila, pada pagi sabtu, pagi-pagi lagi saya dapati, Adib sudah tiada di rumah. saya periksa biliknya, kosong. pada mulanya saya tersinggung kerana saya merasai tidak dihormati Adib sebagai ibu saudara dan juga tuan rumah...perasaan tersebut dalam masa tidak sampai beberapa saat menular menjadi marah pula. tapi bila saya tanya diri sendiri, mengapa marah, apa hak saya untuk marah seorang anak teruna berumur 20 tahun dan hubungan hanya anak saudara, saya terfikir semula dan mengambil keputusan untuk 'build solution' menerusi teguran ala coaching.

perasaan geram dan marah saya cuba kawal, inilah kesan positif dari mengikuti kursus di UMcced, Universiti Malaya. saya perlu mengawal emosi, kerana saya adalah seorang coach, yang perlu stabil emosi apabila ingin menangani sesuatu masalah lebih-lebih lagi, apabila ianya berlaku di dalam rumah.

jadi, pada pagi sabtu, saya ke UM, selesai workshop dengan En. Wan, mentor coach saya, saya telefon Aqilah, adik Adib yang turut tinggal dengan saya buat sementara waktu. katanya Adib belum pulang. saya cepat-cepat mengingati diri saya supaya terus istiqamah dan jangan terperangkap dengan perasaan negatif dek pendek akal.

saya cuba mengalih focus saya kepada cara dan teknik yang saya akan gunakan untuk menegur Adib, kerana marah dan herdikan terhadap Adib ini sudah terbiasa olehnya. Kali ini, Adib tinggal dengan saya, jadi saya akan menggunakan pendekatan saya sendiri. buat apa puaskan hati sendiri, tapi apa yang hendak disampaikan, tidak kesampaian.

Petang sabtu, masih belum nampak bayangan Adib ini. Saya setelah pulang dari kelas di UM, bergegas bersiap untuk berlatih dengan Sukri, rakan aikido saya, kerana pada petangnya, kami akan menduduki ujian kenaikan ranking di dalam aikido. saya 4th kyu, amat berdebar-debar untuk naik ke 3rd kyu, kerana kadangkala terkeliru dengan arahan yang normalnya dalam bahasa jepun.

setelah selesai kelas aikido, saya minum dengan rakan aikido di sabai-sabai, restoren kegemaran saya. saya sampai di rumah hampir maghrib dan Adib masih tidak nampak batang hidungnya. aktiviti melipat kain terasa amat berat dilakukan, jadi saya mengajak Aqilah untuk berbasikal malam di sekeliling taman tempat tinggal saya. pukul 10.40 Adib muncul di depan pagar rumah, menegur saya tanpa rasa bersalah. saya menjawab seperti acuh tak acuh, tidak semesra biasanya. saya tahu Adib rasa bersalah, kerana Mak Uda, biasanya peramah, dan akan tersenyum padanya.

saya menahan perasaan, ikutkan hati mahu di depan pagar saya mahu melontarkan soalan bertalu-talu, sebagai ibu saudara saya amat prihatin. saya menumpukan perhatian bila berbasikal dengan Aqilah malam itu, sehinggalah kami pulang ke rumah dengan baju basah dek peluh. saya masih lagi dapat bersabar, dan berasa selesa kerana berasa keadaan tidak dapat mengawal saya sewaktu itu, sayalah yang mengawal keadaan, iaitu tidak melatah dan gabra. Alhamdulillah.

jadi pada hari ini Ahad, paginya saya ke pejabat sebentar untuk mengambil beberapa barang yang tertinggal dan sempat ke kedai pokok serta membawa pulang beberapa pokok baru. sampai di rumah pada tengahari, saya lihat Adib sudah mandi dan menegur saya seperti biasa.

saya panggil Adib untuk duduk dengan saya, di hadapan saya. mukanya jadi pucat. saya tahu dia takut kerana Mak Udanya sangat serius pula pada hari Ahad yang santai ini. saya tahu beliau takut, kerana kebiasaannya beliau akan dimarah dengan teruk oleh ibu bapanya sekiranya melakukan sebarang kesalahan. saya bertanyakan padanya samada beliau ada apa-apa yang hendak diberitahu pada saya. dengan muka yang keliru, beliau pandang saya, mungkin terfikir di hatinya, mengapa agaknya Mak Uda tidak marah. saya sebenarnya marah tapi perasaan saya tidak penting, yang penting ialah apa yang saya mahu sampaikan pada Adib.

beliau kata, tidak ada apa-apa yang nak dibincangkan. saya tenung matanya, dan mengulang soalan saya, samada betul beliau tiada apa-apa yang hendak dibincangkan. beliau tunduk dan mengiakan bahawa beliau telah berbuat kesalahan. saya tanyakan apa jenis kesalahan yang dimaksudkannya. beliau memberitahu bahawa ada 2 kesalahan iaitu balik lambat dan tidak beritahu keluar rumah.

saya katakan bagus, kalau dia merasakan perasaan bersalah begitu. saya katakan bahawa saya tidak akan marah dia, saya hanya mahu berbincang. saya katakan saya hanyalah ibu saudara, dan saya ulangi ungkapan, Adib dah besar, Adib boleh berfikir lebih baik dari adik kecilnya. saya katakan saya tidak kisah dan tidak akan halang beliau mahu keluar. Adib sudah 20 tahun, mak uda tak mau siasat siapa Adib jumpa dan buat apa, itulah ungkapan saya. dengan nada yang lembut tapi bunyinya tegas, saya berkata, adab itu penting. sekiranya mahu keluar rumah, perlu beritahu dan perlu beritahu bila perancangannya untuk pulang. itu saja. Adib terkejut, mukanya tampak seperti masih keliru kerana saya tidak marah beliau.

beliau minta maaf dan berjanji untuk memberitahu saya sekiranya mahu keluar dan faham apa yang hendak disampaikan oleh saya. tatkala itu saya yakin, mesej telah meresap ke sanubarinya, dan beliau tidak akan mengulang perbuatan tersebut lagi.

mungkin beliau kerana terlalu biasa dimarah keterlaluan, diherdik dan dipukul kadangkala merasakan, buat kali pertamanya beliau ditegur seperti itu. saya katakan, saya menghormatinya dan kerana saya anggap beliau sudah matang, tidak perlu untuk marah-marah. subjeknya ialah Adib, dan perasaan saya adalah tidak signifikan. cara yang digunakan selama ini yang kasar dan keras, membuatkan hati Adib juga jadi keras, justeru itu, jadilah teguran-teguran berubah menjadi bunyi yang masuk ke dalam straw telinga kiri dan keluar ke telinga kanan. straw tersebut tiada T-junction untuk turun ke hati sanubarinya. bukankah yang penat ialah yang banyak bercakap dengan nada yang tinggi dan kasar itu?

saya mahu teguran yang efektif dan efisian. saya mahu kata-kata saya bak bau yang harum meresap masuk ke hati dan keharumannya tidak boleh dilupakan. saya tidak mahu banyak bercakap tapi akhirnya saya yang bercakap seorang. subjek sedang berkhayal perkara lain bagi tujuan memekakkan telinganya. saya tidak mahu gagal dalam berkomunikasi dan mengalah. yang penting apa yang saya hendak sampaikan meresap ke hatinya. sekiranya beliau faham, saya dikira berjaya, dan sekiranya beliau patuh, itu adalah bonus. kami makan roti bersama-sama selepas itu.

2 comments: