Thursday, December 17, 2009

SUSAHKAH BERDOA SENDIRI?

Sudah lama saya tidak bersembang lama dengan seorang kawan bernama Kak H dengan mengeluarkan pendapat-pendapat yang serius. selalunya apabila kami berhubungan, biasalah isu- isu keluarga, anak-anak dan perkara-perkara ringan yang tidak perlu difikir lagi setelah telefon bimbit dimatikan.

Namun, semalam, isu yang dibincangkan agak mencabar minda saya, di mana, pendapat dan nasihat saya kepadanya tidak boleh diselangi dengan senda gurau, kerana ianya berkaitan dengan akidah sebagai seorang muslim.

begini kisahnya, Kak H mempunyai masalah yang berpanjangan dengan suaminya. Tentulah tidak logik untuk saya seorang ibu tunggal untuk memberi nasihat kepada seorang yang masih sayangkan perkahwinan, namun rungutan terhadap suaminya tidak putus-putus. kadangkala, ingin saya utarakan soalan yang begini bunyinya 'kalau Kak H boleh tukar telinga saya ini kepada telinga seseorang, siapakah yang Kak H bayangkan sekarang? ' pastinya tentu telinga suaminya.

Kerana ketika itu, saya seolah-oleh 'sounding box' untuknya. Cukuplah dengan jawaban 'ya' atau hanya dengan 'hmmmmm......ok', sudah cukup memberi kelegaan kepada beliau. Sudah bertahun-tahun lamanya saya menjadi pendengar setia yang tidak bergaji untuk beliau.....apakah harga sebuah persahatan sekiranya masa mendengar luahan hati seorang sahabat sebagai khidmat perundingan yang perlu dibayar....

Kak H memberitahu saya bahawa beliau ingin berjumpa seorang 'ustaz' untuk mengubat suaminya kerana menurutnya suaminya tidak berubah langsung walaupun anak sudah lebih dari setengah dozen. Sekiranya saya ingin tulis semula semua rungutannya di sini, pasti akan berjela-jela panjangnya di dalam blog ini.

Saya menarik nafas panjang sebelum memulakan 'ceramah' saya. Untuk memudahkan sidang pembaca yang mulia memahami intipati nasihat saya, saya akan buat dalam bentuk 'list'

1. Bila kali terakhir Kak H pernah duduk dan berbincang secara baik dengan suami Kak H? Jawabnya tidak pernah.

2. Berapa ramai orang yang sudah Kak H ceritakan masalah Kak H ini? Jawabnya ramai juga...

3. Apakah ianya membantu?
Jawabnya, ya, hati Kak H rasa lega

4. Adakah masalah itu selesai?
Beliau diam

5. Kak H, nak jumpa dengan 'ustaz' ni, apa usaha dia?
Jawabnya, mestilah 'ustaz' akan doakan untuk suami Kak H, diakan ustaz mesti Allah dengar doa dia, dulupun Kak H dengar ada 'couple' ada 'problem' sekarang dah 'settle'..cara dia cepatlah yam...

6. Kak H, kenapa tak doa sendiri?
Jawabnya, takkan Kak H nak rawat suami Kak H, dia bukannya dengar nasihat sesapa..Kak H tak mampulah yam...

7. Takkan doapun tak mampu?
Jawabnya, yalah yam....ada juga lah kekadang tu, tapi....

8. Kenapa Kak H?
Jawabnya, Kak H ni orang biasa jer yam

9. Apa bezanya Kak H dengan 'ustaz' tu?
Jawabnya, ish yam ni, mestilah jauh bezanya

10. Siapa lebih rapat dan kenal suami Kak H, 'ustaz' tu atau Kak H?
Jawabnya, tentulah Kak H

11. Kak H kata tak mampu, siapa kata Kak H tak layak doa untuk suami Kak H?
Jawabnya, takde sape kata

12. Habis tu, dari mana Kak H dapat idea 'tak mampu' tu?
Jawabnya, hmmmmm....Kak H sendiri yang fikir camtu yam...teruklah Kak H kan?

13. Kalau disoal kat akhirat nanti, sebelum minta tolong kat 'ustaz' tu, dah minta tolong dari Allah atau belum, Kak H nak jawab apa?
Beliau diam

14. Kalau ditanya, sudah cuba semua cara lahiriah sebelum mencuba cara spiritual, contohnya berkomunikasi cara terus dengan suami, atau sama-sama pergi kaunselling....Kak H nak jawab apa?
Beliau diam

15. Kalau saya katakan Kak H ambil 'short cut' dalam usaha Kak H untuk selesaikan masalah Kak H ni, Kak H marah tak?
Beliau diam

16. Kalau saya katakan, Kak H belum meletakkan apa-apa usaha lagi untuk memulakan usaha lahiriah, kak H setuju tak?
Jawabnya, memanglah...

Kami diam dan seketika selepas itu, beliau bersuara menyatakan bahawa sememangnya beliau tiada kekuatan untuk bersuara dengan suami beliau. Saya mengatakan beratus jam yang beliau telah gunakan untuk meluahkan perasaannya kepada beratus orangpun, tidak akan menyelesaikan masalah, kerana target beliau ialah hanya untuk melegakan perasaannya sahaja. Telinga yang sepatutnya mendengar luahannya itu, tidak pernah mendengar apa yang terbuku di hati beliau bertahun-tahun lamanya. Sampai bilakan keadaan sebegini akan berterusan?

Saya juga 'berceramah' tentang konsep tawakkal dalam erti kata sebenarnya. Inilah masalah orang melayu secara umum, suka mengambil 'short cut' dan bersandar kepada yang rapuh padahal yang pasti boleh menyelesaikan masalah tersebut masih belum diberi 'salam' padahal Dia akan 'berlari ke arah kita, sekiranya kita berjalan ke arahNya'...mengapa tidak diambil peluang ini?

Siapa kata Dia tidak akan mendengar keluhan hati kita? Siapa kata Dia tidak akan mendengar permintaan kita? Siapa kita untuk berkata demikian sekiranya Dia telah katakan bahawa sekiranya berhajat, mintalah kepada Dia. Lainlah sekiranya kita meminta dalam keadaan angkuh, mana mungkin menepati janjiNya sepertimana di dalam AL Quran yang maksudnya lebih kurang...."Aku akan menunaikan permintaan Hamba2Ku"...jadilah hamba yang hatinya merasa hamba, bukan makhluk yang hanya meminta pabila susah atau merasa susah.

Bukanlah saya anti 'ustaz' malah tidak layak untuk saya berkata demikian terhadap seorang ustaz, namun sekarang sebarang bomoh boleh menggunakan pelbagai nama, dan mengungkap pelbagai janji dan jaminan masalah akan selesai, walaupun diakhiri dengan kata 'insyaAllah'..

Soal syirik adalah serius walaupun syirik kecil. Persandaran kepada yang lain selain Allah, di dalam mendapat penyelesaian untuk sebarang masalah, sememangnya sukar ditelah kerana ianya di dalam hati yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Empunya diri yang tahu, dan persandaran total kepada Allah SWT perlulah dibuat oleh orang yang meminta.

Kadangkala, masalah berpuluh tahun boleh diselesaikan dengan hanya, berkomunikasi secara berkesan. Tidak salah minta orang doakan untuk kita, sekiranya kita tidak menaruh harapan si pendoa menyelesaikan masalah kita, kerana komunikasi antara kita dengan pencipta kita tidak perlunya orang perantaraan.sekiranya rasa diri tidak layak untuk berdoa, atau 'kotor' maka terus perbaiki amalan kita. Sampai bila hendak dibiarkan diri dalam berkeadaan 'tidak layak dan kotor'?

Kak H mengakhiri perbualan dengan ucapan, 'ye lah yam, solat tengah malam pun tak pernah, macamana nak berkomunikasi dengan manusia, komunikasi dengan Tuhanpun belum..macamana Allah nak bukakkan hati suami Kak H, senang aje 'solution' nya sebenarnya...'

Senang bukan? Susah sangatkah berdoa sendiri?

No comments:

Post a Comment